Followers

Monday, March 4, 2019

BERGURU DENGAN KEHIDUPAN

Assalamualaikum...

Sedar atau tak sedar, setiap peristiwa, pahit atau manis, baik atau buruk, hakikatnya adalah 'guru' yang mengajar kita. Setiap guru mengajar sesuatu yang baik, walaupun kadangkala pahit, pedih, dan sakit untuk kita menerimanya. Oleh itu, apabila ditimpa sesuatu musibah atau menerima sesuatu nikmat, muhasabahlah diri : Apakah hikmah disebalik semua itu?

     Anggaplah setiap sesuatu yang berlaku ke atas diri dan kehidupan kita ada tujuan tertentu, dengan ini hidup kita akan sentiasa tenang dan teratur. Kata ahli-ahli sufi, setiap yang berlaku dalam hidup kita adalah 'mehnah' : didikan terus daripada Allah. Apa sahaja yang berlaku dalam hidup adalah didikan Allah untuk hambanya.

Jika seseorang datang dan membuat kita marah, maka dia adalah 'guru' yang mengajar kita erti sabar. Jika kita terasa kesempitan wang, maka situasi itu sedang mengajar kita supaya berjimat cermat. Jika kita dikecewakan, maka ia mengajar kita supaya tidak terlalu berharap. Begitu juga hal-hal lain .

     Tujuan utama diberi cabaran dan dugaan dalam hidup adalah untuk mengubah dan mengajar kita berdepan dengan kehidupan. Hidup kita akan sentiasa berlaku perubahan yang berterusan dan perubahan tersebut berlaku melalui pengalaman yang kita lalui. Kita tidak boleh lari daripada masalah kerana orang yang lari daripada masalah ialah orang yang kalah.

Kita tidak boleh menentukan takdir, tetapi kita yang mentadbir diri kita sendiri sebagai khalifah. Lakukan sesuatu dengan tujuan. Jangan lakukan sesuatu atas dasar 'saja-saja' kerana hidup kita akan menjadi sia-sia. Orang yang mempunyai tujuan tidak akan mudah patah semangat. Oleh itu, belajarlah sesuatu daripada kehidupan dan pengalaman hidup sendiri, kerana setiap pengalaman pasti terselit suatu hikmah yang cukup besar. InsyaAllah...

"We cannot direct the wind, but we can adjust our sail." 😉

No comments: